Nahas helikopter KKM: Kapten Zainol Afiq sudah cuba yang terbaik selamatkan nyawa
KUALA LUMPUR: Pesawat perlu berada pada ketinggian melebihi 1,000 kaki (305 meter) bagi membolehkan sebarang terjunan kecemasan dari udara dilakukan secara selamat, kata bekas juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kapten Mohd Ezairol Rezan Zainol. KUALA LUMPUR – Juruterbang helikopter BO-105 dipercayai sudah melakukan cara terbaik untuk menyelamatkan nyawa penumpang sebelum terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak kelmarin. Bekas juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kapten Mohd. Ezairol Rezan Zainol berkata, dalam situasi kecemasan dan kritikal, hanya juruterbang saja tahu cara terbaik untuk menyelamatkan helikopter dan semua penumpang. “Dalam nahas di Ulu Baram ini, saya percaya juruterbang sudah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa. Mungkin lokasi nahas itu pilihan terbaik kerana kedudukan geografi dan kawasan hutan tebal tidak mempunyai kawasan selamat untuk melakukan pendaratan,” katanya ketika dihubungi. Nahas tersebut mengorbankan Kapten Zainol Afiq Sham Bee; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin; pembantu pegawai perubatan, Alexson Adit, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya yang dalam perjalanan ke Long Lellang bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat. Mengulas lanjut, beliau berkata, pesawat perlu berada pada ketinggian melebihi 1,000 kaki (305 meter) bagi membolehkan sebarang terjunan kecemasan dari udara dilakukan secara selamat. “Jika ketinggian itu tidak dicapai, semua penerjun perlu kekal dalam pesawat sehingga mendarat kerana payung terjun dikhuatiri tidak sempat kembang dengan baik, sekali gus membahayakan nyawa. “Apabila ketinggian pesawat tidak melebihi 1,000 kaki, semua penerjun tidak dibenarkan terjun kerana jika terjun sekali pun, payung terjun dikhuatiri tidak sempat terbuka dan kembang dengan baik, seterusnya membahayakan nyawa penerjun,” katanya ketika mengulas dakwaan netizen di media sosial yang mempersoalkan mengapa lima mangsa nahas helikopter di Ulu Baram, Sarawak, tidak terjun menyelamatkan diri, sebelum pesawat itu terhempas dan terbakar.
Baca laporan asal: kosmo.com.my →
- Diterbitkan
- 10 Sep 2026
- Bahasa
- Melayu
